Friday, 14 May 2010
Tuesday, 11 May 2010
Hukum mewarna rambut
Hukum mewarnakan rambut (sabgh al-sha'r) adalah harus kecuali mewarnakan rambut dengan warna hitam berdasarkan satu hadis riwayat Muslim, no. 2102: Ubahlah warna uban ini akan tetapi elakkanlah daripada warna hitam (menghitamkannya).
Warna hitam hanya diharuskan bagi mereka yang menghadapi penyakit beruban walaupun masih terlalu muda dan untuk muslihat perang. Namun mewarnakan rambut adalah makruh bagi golongan muda yang tidak bermasalah.
Pengecualian dikhaskan kepada para isteri yang berbuat demikian atas permintaan suami atau diizinkan oleh suami.
Hukum ini bertukar menjadi haram jika tiada tujuan tertentu seperti untuk suka-suka atau dengan niat yang bersalahan dengan panduan syarak seperti wanita yang berbuat begitu untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias (tabarruj) mempamerkan rambut kepada bukan mahram dengan mengabaikan syariat menutup aurat dalam Islam.
Begitu juga jika bahan yang digunakan merosakkan rambut anugerah Allah kerana ia adalah amanah Allah yang 'dipinjamkan' kepada kita.
Apa yang penting bagi orang yang ingin mewarnakan rambut ialah bahan pewarna itu halal dan telap air seperti inai (ini jelas harus dan disebut di dalam hadis) kerana jika tidak telap air, wuduk anda dianggap tidak sah.
Mengikut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dari segi ramuan pewarna rambut yang berada di pasaran kita terbahagi kepada dua jenis. Kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi satu telap air dan satu lagi tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu.
Pewarna rambut yang dipasarkan biasanya akan tertulis pada kotak permanent dye atau semi permanent dye.
Mengikut kajian, jenis yang semi-pamenent dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya.
Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ia dikilangkan di luar negara. Secara teknikalnya, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal untuk produk yang diproseskan di Malaysia sahaja.
Tiada keharusan ditemui untuk mewarnakan rambut pelbagai warna pada satu kepala (tamyish al-sha'r). Ada ulama menghukumkan haram kerana menyerupai budaya orang kafir.
Sunday, 4 April 2010
Kita Bersaudara

Jangan jadikan perbezaan fahaman sebagai alasan kita saling bermusuhan. Kita semua bersaudara. Bersatulah demi Islam.
Saturday, 13 March 2010
Kasih Sayang Allah
Kepada Rasulullah s.a.w. disampaikan tawanan perang. Tiba-tiba ada seorang wanita dari tawanan itu berjalan menemukan seorang anak yang juga termasuk dalam kelompok tawanan tadi. Wanita itu lalu mengambil anak tersebut lalu diletakkannya pada perutnya, kemudian disusuinya.
Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Adakah engkau semua dapat menduga bahawa wanita ini akan sampai hati meletakkan anaknya dalam api?"
Kami (para sahabat) menjawab: "Tidak" demi Allah (maksudnya wanita yang begitu sayang pada anaknya, tidak mungkin akan sampai meletakkan anaknya dalam api)
Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Nescayalah Allah itu lebih kasih sayang kepada sekalian hamba-hambaNya daripada kasih sayangnya wanita ini kepada anaknya."
(Muttafaq 'alaih)
Tuesday, 9 February 2010
Tazkirah
Menghadapi kematian (sakaratul maut) adalah detik paling dahsyat yang tiada bandingannya dengan segala bahaya dan bala bencana di muka bumi ini.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dari Ibnu Umar yang bermaksud :”Kematian itu apabila dikenangkan, seseorang itu akan lebih banyak menangis daripada ketawa.”
Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak.
Manusia selain tidak mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya samada mati dalam keadaan ‘husnul khatimah’ atau ‘su’ul khatimah’, sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dan Dialah Tuhan dan tiada tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya sehasta, tiba-tiba kitabnya mendahuluinya ,lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka dia masuk ke neraka.Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak di antara dia dengan neraka itu hanya sehasta, tiba-tiba kitabnya mendahuluinya, lalu dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka dia masuk ke syurga.” (Riwayat Bukhari)
Hadis itu mengingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin kesudahan yang baik untuk dirinya.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam godaan syaitan ketika di dunia ataupun ketika menghadapi sakaratul maut
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:”Ada dua perkara yang sangat ditakuti dan dibenci manusia:
Ø Manusia itu takut dan benci pada maut padahal ia lebih baik kepada orang mukmin daripada ancaman fitnah.
Ø Manusia juga takut dan benci pada kemiskinan, padahal itu lebih baik baginya daripada susah dan menderita dihisab di akhirat nanti."
Hukama’ berkata: “Empat perkara yang boleh menyelamatkan seksaan kubur iaitu : menjaga solat, bersedekah, membaca al-Quran dan bertasbih.
Empat perkara yang menyebabkan seksaan kubur ialah : berdusta, khianat, mengumpat dan tidak membersihkan air kencing pada tubuh”
Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya kita menjadi lebih insaf dan tidak lalai serta leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini.
(petikan daripada Berita Harian, Khamis, 14 April 2005)
Monday, 4 January 2010
Mastika Hadith
18- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ. (مسلم)
18 - Dari Abdullah bin `Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Seseorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah yang terselamat orang-orang Islam dari lidahnya dan tangannya.
(Muslim)
Hadis yang kelapan belas ini menerangkan bahawa:
Huraiannya:
Perkataan "Islam" ialah pecahan dari perkataan "Salam" ertinya: Selamat sejahtera.
Orang Islam yang sebenar-benarnya - selain daripada menunaikan rukun-rukun agama sedaya upayanya - ia tidak sekali-kali akan melakukan sebarang angkara dan pencerobohan terhadap orang yang tidak mengganggu keselamatannya, sama ada dengan lidahnya atau dengan tangannya atau pun dengan apa jua.
Sebaliknya orang Islam yang tergamak melakukan sebarang perkara yang merosakkan orang lain, ialah orang yang tidak sempurna Islamnya.
Hakikat ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadisnya yang bermaksud:
"Orang-orang yang sempurna Islamnya adalah bersaudara dengan semua orang yang tidak memusuhinya terutama sekali orang-orang Islam); salah seorangnya tidak harus melakukan kezaliman kepada saudaranya, tidak harus dibiarkan dia teraniaya dan tidak dibela, tidak harus menyatakan kepadanya sesuatu yang dusta dan juga tidak harus menghinakan atau memandang rendah kepadanya."
*dipetik daripada Mastika Hadith Rasulullah S.A.W oleh JAKIM
Wednesday, 30 December 2009
Mastika Hadith
15- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. (البخاري ومسلم)
15 - Dari Anas ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelima belas ini menerangkan bahawa:
Huraiannya:
Islam mahukan masyarakat yang bersatu padu dan perpaduan yang demikian tidak akan wujud melainkan dengan adanya perhubungan yang baik yang menghubungkan orang-orang perseorangan antara satu dengan yang lain dan menghubungkan mereka dengan masyarakat seluruhnya!
Sebaik-baik asas yang menjamin keselamatan dan kemajuan bagi masyarakat dan menjamin kehidupan yang aman bahagia - ialah: "Hendaklah tiap-tiap seseorang dari mereka sukakan kebaikan bagi orang lain sebagaimana ia menyukainya bagi dirinya sendiri."
Ada di antara manusia yang sukakan dirinya sahaja dan tidak memikirkan orang yang menderita sakit pening, kemiskinan dan duka nestapa.
Jenis manusia yang demikian tidak mengakui persahabatan pertalian kaum kerabat dan maruah kecuali jika ia ada mempunyai sesuatu faedah disebaliknya.
Kebaikan pada pandangannya ialah yang membawa faedah kepadanya walaupun faedah itu haram; dan kejahatan pada pandangannya ialah perkara yang menyebabkan dia mengeluarkan tenaga dan harta benda, sekalipun perkara itu mendatangkan faedah kepada anak-anak watannya, atau sahabat-sahabatnya atau pun kaum kerabatnya.
Ada kalanya dia bertambah perasaan tamak halobanya, sehingga dia memandang dirinya sahajalah yang berhak mendapat kebaikan dan orang lain tidak berhak mendapat sesuatu pun, lalu dia berusaha untuk mendapat segala-galanya, sekalipun benda-benda itu dari harta benda orang-orang miskin dan makanan orang-orang yang dhaif lemah.
Jenis manusia ini, yang hidup untuk kepentingan dirinya semata-mata dimurkai Allah Taala, dibenci oleh Islam dan disifatkan akhlaknya yang demikian, terkeluar dan dasar Islam.
Ada pun jenis manusia yang dikasihi Allah dan diredhai oleh masyarakat - ialah orang yang hidup untuk dirinya dan untuk orang lain dan sentiasa memikirkan kebaikan umat manusia sebagaimana ia memikirkan kebaikan dirinya sendiri, kerana sikap yang demikian adalah dari iman yang sempurna.
Cinta kasih kepada umat manusia yang tidak memusuhi Islam dan pelaksanaan tanggungjawab terhadapnya - itulah yang menguatkan perhubungan sesama manusia sekalipun berlainan bangsa dan agama dan itulah jua yang menghapuskan banyak di antara kejahatan-kejahatan dan perbuatan yang durjana.
Seseorang yang mengikat perhubungannya dengan orang lain berdasarkan asas yang tersebut ialah orang yang bersih suci hatinya dan segala sifat yang keji, seperti hasad dengki, dendam kesumat, sombong angkuh dan sebagainya. Orang itu ialah juga orang yang waras fikiran dan kesedarannya, serta menjadi anggota masyarakat yang baik dan berguna.
*dipetik daripada Mastika Hadith Rasulullah S.A.W oleh JAKIM