Tuesday 9 February 2010

Tazkirah

INGATI MATI CARA MOTIVASI DIRI


Menghadapi kematian (sakaratul maut) adalah detik paling dahsyat yang tiada bandingannya dengan segala bahaya dan bala bencana di muka bumi ini.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dari Ibnu Umar yang bermaksud :”Kematian itu apabila dikenangkan, seseorang itu akan lebih banyak menangis daripada ketawa.”
Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak.
Manusia selain tidak mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya samada mati dalam keadaan ‘husnul khatimah’ atau ‘su’ul khatimah’, sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dan Dialah Tuhan dan tiada tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya sehasta, tiba-tiba kitabnya mendahuluinya ,lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka dia masuk ke neraka.Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak di antara dia dengan neraka itu hanya sehasta, tiba-tiba kitabnya mendahuluinya, lalu dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka dia masuk ke syurga.” (Riwayat Bukhari)
Hadis itu mengingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin kesudahan yang baik untuk dirinya.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam godaan syaitan ketika di dunia ataupun ketika menghadapi sakaratul maut
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:”Ada dua perkara yang sangat ditakuti dan dibenci manusia:
Ø Manusia itu takut dan benci pada maut padahal ia lebih baik kepada orang mukmin daripada ancaman fitnah.
Ø Manusia juga takut dan benci pada kemiskinan, padahal itu lebih baik baginya daripada susah dan menderita dihisab di akhirat nanti."
Hukama’ berkata: “Empat perkara yang boleh menyelamatkan seksaan kubur iaitu : menjaga solat, bersedekah, membaca al-Quran dan bertasbih.
Empat perkara yang menyebabkan seksaan kubur ialah : berdusta, khianat, mengumpat dan tidak membersihkan air kencing pada tubuh”
Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya kita menjadi lebih insaf dan tidak lalai serta leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini.
(petikan daripada Berita Harian, Khamis, 14 April 2005)