Sunday 13 September 2009

iktibar hidup

Setiap Dosa Akan Tumbuhkan Satu Titik Hitam Di Hati
(Dipetik dari Berita Harian ,Selasa,24 Februari 2004)

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan oleh Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan hamba kerana pada hati letaknya niat.
Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi dijaga agar tidak mati bagi mengelakkan penyakit masyarakat yang berpunca dari hati.
Justeru itu, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya dari berbuatan dosa dan maksiat.
Hati hitam ialah hati yang gelap disebabkan titik hitam akibat perbuatan dosa yang tidak dibersihkan dengan melakukan taubat. Perkara itu jelas digambarkan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “ Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh di hatinya satu titik hitam, kiranya ia bertaubat akan terkikis titik hitam itu dari hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga seluruh hatinya menjadi hitam.”(Riwayat Ibnu Majah)
Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan seterusnya
menghalang kehadiran cahaya iman atau ilmu yang boleh memandu ke arah kebaikan.
Perkara yang paling membimbangkan kita ialah apabila hati mati kerana matinya hati adalah malapetaka yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan.
Persoalannya sekarang, kenapa hati itu mati? Hati itu mati adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut :
1. Hati mati kerana ia tidak berfungsi mengikut perintah Allah, iaitu tidak mengambil iktibar dari setiap pengajaran dan ujian dari Allah.
2. Hati mati jika tidak diberikan makanan rohani sewajarnya, seperti tubuh akan mati jika tuannya tidak makan atau minum.
Oleh itu, peliharalah hati kita sebaik-baiknya supaya tidak kotor, hitam, sakit, buta, keras dan .Gilap dan bersihkanlah hati dengan memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah.

0 comments:

Post a Comment